Jumaat, 21 Ogos 2009

Bagaimana Kamu Menyambut Madrasah Ramadhan?

Bulan yang dinantikan oleh setiap orang yang beriman sudah tiba.Bulan yang penuh dengan seribu rahmat.Bulan yang kelebihannya tiada tolok banding.

Bagi orang yang beriman , Ramadhan dinantikan dengan penuh debaran.Adakah sempat untuk bertemu pula Ramadhan yang akan datang? Adakah puasa yang aku lakukan pada tahun ini sekadar menahan lapar dan dahaga? Adakah amalan yang aku lakukan pada bulan Ramadhan ini mampu menghasilkan natijah yang memuaskan?Adakah itu dan adakah ini….

Manakala bagi orang yang tidak punya perasaan langsung terhadap Ramadhan maka tentulah akan merasakan bahawa ianya merupakan satu bebanan yang maha hebat.Tidak lagi dapat makan pada waktu siang.Tidak lagi dapat melakukan apa yang dapat dilakukannya pada siang hari di bulan-bulan yang lain.

Apa yang dinantikan oleh mereka hanyalah hari lebaran.Ketika Ramadhan mereka gundah gulana.Ketika Idul Fitri merekalah orang yang paling gembira.Orang lain pergi berperang, mereka pula yang gembiranya lebih jika menang.Bila diajak berperang bersama, bermacam alasan diberikan.

Penuntut ilmu perlu menggunakan Ramadhan ini sebaiknya.Madrasah Ramadhan jadikanlah sebagai sebuah madrasah yang akan melahirkan sebuah ketaqwaan di dalam perilaku kita selanjutnya selepas Ramadhan.

Tiadalah natijah yang terbaik bagi seseorang pelajar melainkan berjaya di dalam ujiannya dengan cemerlang ketika berada di alam pengajiannya.

Maka Madrasah Ramadhan adalah madrasah terbaik yang akan membuat tapisan siapakah yang mampu untuk menjadi graduan yang paling berjaya.Tiada sijil yang akan diberikan, tiada hadiah berbentuk material yang akan disajikan.Malah hadiah yang paling bernilai yang akan diberikan oleh Allah taala iaitu TAQWA.Firman Allah taala di dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu semua untuk berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada umat yang sebelum daripada kamu semua, Moga-moga kamu beroleh ketaqwaan.

Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang sangat sinonim dengan al-Quran.Ini kerana al-Quran diturunkan pada malam di bulan Ramadhan.Fitrah bagi umat Islam, bilamana tiba sahaja di bulan Ramadhan maka akan terdetik di dalam hatinya “ Tadarus al-Quran”.

Banyakkanlah membaca al-Quran di bulan penuh keberkatan ini.

Saya seringkali menyebutkan kepada sesiapa yang hadir ketika majlis pengajian bersama saya agar membanyakkan bacaan al-Quran.Malah menurut Guru Kita yang mulia, Syeikh Imad Affat hafizahullah , beliau meminta kepada seluruh pelajarnya agar membaca mana-mana tafsir al-Quran untuk dihabiskan pada bulan Ramadhan ini.

Seringkali kita membacanya namun tidak pula pernah terlintas untuk kita memahaminya sebagaimana para ulama memahaminya.

Saya dan Saudara Luqman sahabat saya, mengambil inisiatif untuk membaca tafsir al-Imam Baidhawi rahimahullah sepanjang Ramadhan ini.

Kita akan sama-sama berkumpul di bilik saya, dan membaca al-Quran sebanyak sejuzuk sehari dan selesai membaca al-Quran maka kami akan sama-sama membacakan Tafsir tersebut dan mengambil kefahaman daripadanya.Jika kurang jelas maka Guru kita yang mulia Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi hafizahullah boleh untuk kami rujuk setiap kali pergi ke kelas pagi bersama Syeikh.

Di sini saya cuba letakkan jadual kehidupan untuk kita sama-sama amalkan pada bulan Ramadhan ini:

3.15 pagi : Sahur

3.30 pagi: Membaca al-quran sementara menanti Subuh

3.53 pagi : Solat Subuh

4.45 pagi: Bertolak ke Masjid al-Asyraf untuk majlis pengajian Tuhfatul Ahwazi Syarah Jami’ Tirmizi bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri

6.00 pagi : Rehat

7.00 pagi: Baca al-Quran sebanyak sejuzuk dan mula membaca Tafsir al-Imam Baidhawi

9.00 pagi: Rehat dan solat Dhuha

10.00 pagi: Sambung semula bacaan Tafsir al-Imam Baidhawi.

11.00 pagi : Rehat dan Tidur Qailulah (sementara menanti masuk waktu Zohor)

12.00 tengahari: Solat Zohor berjemaah( sama ada di Masjid atau surau)

12.30 tengahari : Baca al-Quran sebanyak 2 juzuk.

1.45 petang: Rehat

2.45 petang: Baca kitab ( Apa-apa sahaja kitab)

3.45 petang :Solat Asar dan mengikut kelas pengajian bersama Syaikhuna Muhammad Nuruddin al-Banjari hafizahullah di Rumah Kedah Baru.

6.00 petang: Rehat dan Cari tempat berbuka puasa yang sedap-sedap (di Masjid berdekatan)

7.00 malam: Selesai solat Maghrib dan berbuka puasa maka pulang ke rumah.

8.00 malam: Solat Isya’ berjemaah dan rehat sebentar mengambil tenaga untuk menunaikan Tarawih.

8.45 malam: Bertolak ke Masjid al-Asyraf untuk solat bersama Syaikhuna Murabbi Dr Yusri Rusydi al-Hasani hafizahullah (solat Tarawih di sini sebanyak 20 rakaat dan dibacakan 3 juzuk sehinggalah selesai 20 rakaat, kepada sesiapa yang mampu dan teringin merasakan nikmatnya ibadah maka datanglah ke sini beramai-ramai)

9.30 @ 10.00 malam : Akan berhenti rehat sebentar dan Syaikhuna Yusri akan membacakan kitab Bahjatul Nufus Syarah Mukhtasar Ibn Abi Jamrah rahimahullah(Kitab Syarah Hadis mukhtasar Sahih Bukhari).

11.00 malam: Balik dan rehat untuk hari seterusnya.

Ini adalah jadual cadangan yang saya akan cuba laksanakan pada Ramadhan ini ketika di Mesir.Doakan moga saya dan sahabat-sahabat dapat melaksanakan seperti yang tertera di sini.
Jangan memaksa diri, laksanakan dengan sekadar yang kita mampu.Apa yang penting ialah istiqamah dengan amalan tersebut walaupun sedikit.

Janganlah kita menjadi hamba Ramadhan sebaliknya kita mengejar redha Allah taala semata-mata.Semoga Ramadhan menjadi pemangkin untuk kita lebih berusaha sungguh-sungguh menjadi hamba yang bertaqwa.Amin ya Rabbal a’lamin.

Sama-sama kita amalkan ..Banyakkanlah berselawat kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam....

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Ardhul Kinanah,
Misr al-Mahrusah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...