Rabu, 10 Mac 2010

Belasungkawa Syaikhuna Al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah.. Moga Allah merahmatimu Ya Syaikhana

Pagi ini setelah selesai mengajar kitab Syarah Jauharah Tauhid oleh al-Imam Bajuri rahimahullah di Rumah Kedah Hayyu 7, saya bergegas pulang ke rumah. Dipertengahan jalan , bertemu dengan Akhina Ust Fadhil Abdul Rahman, beliau menyampaikan berita yang menggugah sanubari ini. Berita pemergian Syaikhuna al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah , Syaikhul Azhar al-Syarif. Serta merta al-Faqir menghubungi Syaikhuna al-Allamah Dr Jamal Faruq hafizahullah , guru yang sangat disayangi oleh al-Faqir dan seluruh pelajar di bumi Mesir. Sekadar ingin mendapatkan kepastian daripada Syaikhuna berkenaan berita tersebut.

Al-Faqir tidak sempat mengenal lama Syaikhuna al-Allamah , pernah bertemu beberapa kali di dalam majlis tertentu. Syaikhuna walaupun seorang yang berkedudukan tinggi di dalam kerajaan Mesir, namun sedikit pun tidak memberikan kesan kepada kehidupannya. Malah terkenal sebagai seorang yang zuhud, tenang , dan sejuk mata memandang. Butir-butir kalam yang keluar daripada beliau mampu menusuk ke jiwa sanubari sesiapa yang ingin memahaminya.

Hilang satu demi satu para ulama ummah. Moga-moga pemergiannya tidak akan melemahkan semangat para penuntut ilmu agama bagi meneruskan pemburuan ilmu di perlembahan Nil ini. Baru-baru ini al-Faqir ada membaca sebuah kitab yang menceritakan tentang para Syaikhul Azhar terdahulu bermula daripada Syaikhul Akbar al-Allamah Muhammad Syannawi rahimahullah , Syaikhul Azhar pertama sehinggalah Syaikhul Akbar al-Allamah Syeikh Jadul Haq Ali Jadul Haq rahimahullah. Kitab tersebut diilhamkan oleh Syaikhuna al-Allamah Dr Sayyid Muhammad Tantawi rahimahullah dan dikarang oleh seorang doktor daripada Kuliyyah Adab .Namun beliau tidak mahu dimasukkan namanya dan cerita kehidupannya di dalam kitab tersebut.

Syaikhul Akbar merupakan seorang yang sangat kuat membaca dan terlalu asyik jika membaca, sehingga diceritakan beliau terpaksa menyuruh salah seorang pembantunya untuk menunggu dan mengingatkan kepada beliau bilamana waktu solat telah masuk,bimbang terlepas waktu solat. Ini kerana jika beliau mula membaca pada awal pagi, maka beliau hanya akan tamat membaca jika telah masuk waktu Zohor.Ini adalah rutin kehidupan Syaikhuna.

Bilamana menelti kehidupan Syaikhuna, seolah-olah terpancar sinar para ulama terdahulu yang terlalu asyik dan masyuk ketika membaca. Kisah al-Imam Isnawi rahimahullah yang membaca bermula selepas Isya’ sehinggalah terlepas solat Subuh hanya kerana terlalu asyik membaca dan menulis sehingga tidak sedar bahawa matahari semakin meninggi. Beliau hanya menyedari bahawa subuh telah tamat bilamana cahaya matahari memancar ke wajahnya. Masya Allah, begitu asyik sekali membaca seolah-olah tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Berbeza dengan sikap “pewaris para ulama” sekarang, lebih banyak tidur daripada membaca. Apa yang berlaku kepada kita , adalah sebalik daripada cerita al-Imam Isnawi rahimahullah dan al-Imam Tantawi rahimahullah. Kita menyedari bahawa matahari telah terbit kerana terlajak tidur bukan kerana asyik membaca. Ya , mungkin membaca, tetapi di dalam mimpi. Allahu Allah.

Moga-moga Syaikhuna ditempatkan bersama para Anbiya’, Auliya’, Syuhada’ dan Solihin di sisi Allah taala kelak.Syaikhuna wafat pada pagi 10 Mac 2010 di Makkah al-Mukarramah ketika hendak berangkat pulang ke Mesir.Beliau pergi menemui Allah taala pada umur 82 tahun. Sebelum sempat menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Khalid al-Dauli di Riyad beliau diserang sakit jantung dan dibawa terus ke hospital, namun Allah taala lebih menyayangi ulamanya ini. Beliau dijangka akan dimaqamkan di Baqi’ al-Gharqad berhampiran Baginda sallallahu alaihi wasallam di Madinah al-Rasul sallallahu alaihi wasallam. Al-Fatihah buat Syaikhuna al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah. Kami tetap merinduimu ya Syaikhana.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
Penuntut Ilmu Masjid al-Azhar al-Syarif & Masjid al-Asyraff,
Rumah Kedah Transit, Hayyu 7,
Kaherah,Mesir

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...